Friday, January 29, 2010

Apa ada dengan kebaya Indonesia?






Salam sejahtera para pengunjung blog kami yang kami hormati,
Saya cukup teruja melihat perkembangan yang menarik di dalam arus perkembangan fesyen baju pengantin di Malaysia sejak akhir-akhir ini, terutamanya kebaya pengantin. Rata-rata kebanyakannya memaparkan kebaya pengantin dari Indonesia yang mewah anggun dihiasi dengan sulaman dan manik yang cantik berkilauan.

Terus terang, saya sudah mula ”jatuh cinta” pada kebaya pengantin Indonesia sejak tiga tahun yang lalu, setelah diperkenalkan oleh pembantu rumah saya yang begitu bersemangat memperkenalkan saya kepada tradisi perkahwinan dan busana pengantin dari seberang. Sementelah pula, dia berasal dari keluarga yang sudah lama berkecimpung dalam dunia andaman, atau disana disebut riasan pengantin dikampungnya di Jawa Tengah.


Namun budaya dan tradisi Indonesia bukanlah sesuatu yang baru pada saya, malah sebelum itu saya telah acapkali berkunjung ke negara jiran kita yang kaya dengan budayanya atas urusan kerja dan juga kadang-kadang melancong bersama suami. Apa yang saya kenali adalah masyarakat Indonesia disana baik-baik belaka, peramah, rajin dan kreatif sekali. Lagipun, saya boleh bertutur dalam bahasa Indonesia dengan agak lancar, jadi tidak ada masalah komunikasi. Ini kerana saya pernah mengambil matapelajaran alternatif jurusan Indonesian Studies semasa menuntut di Australia dahulu. Indonesian Studies telah banyak membuka ruang untuk saya lebih mengenali budaya, bahasa, sejarah, kesusasteraan dan cara hidup masyarakat Indonesia.

Jika kita renung kembali sejarah semasa era perang dunia ke-2, kaum wanita termasuk nenek moyang kita memakai baju kebaya yang mempunyai pengaruh kebaya Indonesia. Anda juga boleh lihat Allahyarhamah seniwati Saloma & primadona dalam filem-filem P.Ramlee dan seangkatannya dengannya, kelihatan seksi dan anggun dengan kebaya ala Indonesia. Ibu saya & ibu saudara saya semasa mudanya pula melaram dengan baju-baju kebaya yang pelbagai fesyen yang lebih sinonim dengan kebaya Indonesia. Saya tertanya-tanya, mengapa?

Waktu dahulu, sebelum Malaysia & Indonesia merdeka, tidak wujud negara kedua-kedua ini. Waktu itu tiada batasan dan sempadan, mungkin waktu itu tidak perlu passport untuk memasuki negara2 ini, apa yang dilihat hanyalah kita dan mereka adalah bangsa yang serumpun. Bahasa pertuturan pun hampir sama. Sayangnya, setelah perang dunia ke-2 tamat dan kedua-dua negara ini mendapat kemerdekaan, maka barulah wujud nama ”Malaysia” & ”Indonesia”, dan kerana itu dan sejak itu, kita semua dibelenggu persoalan, siapakah yang lebih berhak keatas budaya siapa yang telah berakar umbi beratus-ratus tahun lamanya. Sebenarnya, tiada siapa yang boleh mengaku hak eksklusif ini kerana budaya yang dipraktikkan di kedua-dua negara ini telah dibawa dari India semasa kerajaan Hindu bertapak di kawasan nusantara ini.

Saya rasa semua sudah sedia maklum yang susur galur majoriti masyarakat Melayu di Malaysia berasal dari Indonesia. Beratus-ratus tahun sebelum merdeka, datuk nenek moyang kita dari pelosok Indonesia merantau ke Malaysia untuk mendapat penghidupan baru dan seterusnya menetap disini. Jadi tidak mustahil mereka membawa budaya dari sana termasuk adat resam, makanan, pakaian & cara hidup yang lama kelamaan mengalami perubahan sedikit demi sedikit dilanda arus masa dan zaman. Tetapi, disebabkan akar umbinya dari yang sama, maka anda dapat lihat ada persamaan antara Malaysia dan Indonesia.

Kenapa saya bercerita tentang sejarah pulak ye? Saya teringat semasa saya cuba memperkenalkan kebaya pengantin Indonesia pada masyarakat di sekitar tempat saya, ramai yang mencebik bibir pada saya, dengan angkuh sekali berkata pada saya ”Apa ada pada kebaya Indon?” Ada yang mengutuk saya kerana menyangkakan yang baju2 kami adalah baju tradisional Jawa saja. Itu saja. Maaf, kebaya2 pengantin Indonesia yg kami bawa adalah design yang moden & terkini. Hmm...saya tersenyum saja bila mengenangkan tiada siapa mempersoalkan tentang kebaya pengantin Siti Nurhaliza yang direka khas oleh Anne Avantie, dari Semarang, Jawa Tengah. Bertuah jadi orang terkenal ye...

Ada juga yang memarahi saya, ”Kenapa mesti nak bawa budaya dari luar?” Ada yang kurang senang kerana menganggap saya membelakangkan budaya sendiri, budaya Melayu. Ada juga yang tidak berpuas hati kerana kami tidak menyediakan baju2 songket. Maaf, bukan kami tidak mencintai songket Melayu kita, tetapi kami tidak mahu bersaing dengan banyak butik2 pengantin lain yang ada menyediakan pakaian songket ini. Saya rasa itu lebih adil.

Pembantu rumah saya yang terdahulu, semasa dia pulang bercuti ke Indonesia, dia juga dimarahi oleh teman senegaranya kerana membelikan kebaya pengantin dari sana untuk saya sebagai ole-ole/buah tangan. Dia dituduh cuba menjual budaya Indonesia, sedangkan niatnya hanya untuk memperkenalkan keindahan kebaya Indonesia.

Dan niat saya pula, hanya untuk membawa kelainan citarasa fesyen kebaya pengantin kepada anda semua. Apa salahnya jika keindahan kebaya pengantin Indonesia dapat menyerlahkan lagi kejelitaan pengantin di hari bahagia mereka.

Saya tidak pernah mengaku yang kebaya2 ini adalah kebaya kita.
Saya tetap memberitahu pelanggan2 saya yang kebaya2 koleksi kami adalah kebaya Indonesia, supaya kita lebih menghargainya dan supaya tidak berlaku persoalan hak cipta. Bak kata pepatah Melayu “tak kenal, maka tak cinta” , kan…

Alhamdulillah, kini kebaya pengantin Indonesia sudah mula diterima ramai & atas sebab itu, butik kami lebih berkonsepkan kebaya dari sana untuk memberi lebih banyak pilihan dan kelainan kepada bakal2 pengantin kita.

Anda jangan tekejut kalau saudara serumpun kita di Indonesia juga ada yang meminati baju kurung kita….

Begitulah, fesyen adalah universal dan ianya harus bisa dicintai oleh semua….

Oh ya, setelah sekian lama, saya baru dapat tahu dari ibu saya yang moyang saya berasal dari Palembang…….ye ke?

Jangan lupa, nantikan koleksi kebaya pengantin terbaru kami dari Indonesia mulai Mac depan, Insyaallah.

Nukilan ikhlas dari,
Nor.
Dewi Seri Bridal
019-6680944 / 017-2108446

No comments: